Wednesday, 16 March 2011

MODEL ASSURE

Reka bentuk pengajaran ASSURE kerana model tersebut sesuai untuk digunakan dalam merancang proses pengajaran dan pembelajaran. Model ASSURE merupakan sebuah model rancangan pengajaran yang berasaskan bilik darjah. Terdapat beberapa langkah penting dalam model reka bentuk pengajaran ASSURE yang sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Perancangan pengajaran yang rapi dan tersusun akan menghasilkan pengajaran yang berkesan. Menurut Gagne (1985), pembelajaran berlaku sebagai satu proses perkembangan secara berperingkat.
Ø  Terdapat enam langkah utama dalam model reka benuk pengajaran ASSURE iaitu :
1.      A - analyze learners (menganalisis pelajar),
2.      S - state objectives (menyatakan objektif),
3.      S - select methods, media and materials (memilih kaedah, media dan bahan sumber),     
4.      U- utilize media and materials (menggunakan media dan bahan),
5.      R -require learner participation (memerlukan penglibatan pelajar) dan
6.      E - evaluate and revise (melakukan penilaian dan pengubahsuaian).

1.   Analisis Pelajar
Bagi langkah pertama iaitu menganalisis pelajar, terdapat tiga perkara yang boleh dibuat analisis oleh guru iaitu ciri-ciri pelajar, pengetahuan dan pengalaman sedia ada mereka serta gaya pembelajaran pelajar tersebut. Dalam proses menganalisis ciri- ciri pelajar, guru perlu mengenal pasti ciri-ciri umum yang terdapat pada seseorang murid seperti jantina, umur, bakat, gaya pembelajaran petempatan / daerah / kawasan, budaya dan kelas atau taraf ekonomi. Ciri-ciri umum ini boleh diperolehi semasa sesi suai kenal antara guru dengan murid pada hari pertama persekolahan dan guru daripada pemerhatian guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Jika pelajar berasal dari satu kumpulan etnik yang sama, pemilihan bahan bolehlah berasaskan unsur budaya etnik berkenaan.
Setiap pelajar membawa pengalaman dan pengetahuan yang tertentu ke dalam bilik darjah. Ini dikenali sebagai entry point. Analisis pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid-murid dapat membantu guru menyediakan pengajaran yang bermanfaat kepada murid-murid. Oleh itu, guru perlu mengetahui tahap pengetahuan dan pengalaman sedia ada yang dimiliki oleh murid-muridnya terlebih dahulu sebelum beralih kepada langkah yang seterusnya. Hal ini adalah bagi membantu guru menyediakan pengajaran yang berkesan dan pelajar dapat membina pengetahuan secara konstruktivis selain membantu guru mengesan pengetahuan pelajar melalui ujian pra atau melalui soal jawab.
Gaya pembelajaran murid-murid merupakan trait psikologi berkaitan dengan cara dan gaya individu menanggap, berinteraksi dan bertindak balas secara emosi dengan persekitaran pembelajaran. Ianya merujuk kepada cara yang paling sesuai dan berkesan untuk individu menguasai pembelajaran. Gaya pembelajaran individu mempengaruhi cara seseorang individu memproses maklumat serta membentuk persepsi. Sesuatu perancangan pengajaran dan pembelajaran yang mengambil kira gaya pembelajaran akan menjadikan sesuatu pembelajaran menjadi lebih berkesan.

2.  Menyatakan objektif
Bagi langkah kedua iaitu menyatakan objektif pembelajaran secara khusus, guru perlu menyatakan objektif pelajaran yang akan dicapai oleh murid dan sesuai dengan kehendak pelajar serta menetapkan perubahan tingkahlaku yang akan berlaku pada pelajar. Objektif-objektif pembelajaran secara khusus perlu dinyatakan dengan jelas bagi memastikan aplikasi yang kan dibangunkan mempunyai hala tuju yang terpimpin serta menepati kehendak. Sebagai contoh :
i. Siapa yang hendak mencapai objektif tersebut?
ii. Apa objektif yang hendak dicapai?
iii. Bagaimana objektif hendak dicapai dan berapakah ukuran tahap minimum yang
hendak dicapai.

3.   Memilih kaedah, media dan bahan sumber
Bagi langkah ketiga iaitu memilih kaedah, media dan bahan, terdapat tiga langkah proses pemilihan yang perlu dijalankan. Pertama ialah pemilihan kaedah yang paling sesuai. Sesuatu kaedah yang sesuai perlu dipilih bersesuaian dengan ciri-ciri murid-murid, pengetahuan sedia ada, gaya pembelajaran serta objektif. Kedua ialah format media yang dipilih. Pemilihan media adalah mengenai bentuk format media yang akan digunakan seperti gambar, foto, slaid, audio, video serta video interaktif. Pemilihan media perlulah mengambil kira kumpulan pelajar, keupayaan, objektif serta maklum balas yang akan diberi. Ketiga ialah memilih, mengubah suai atau menghasilkan sumber pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan bahan sumber adalah merujuk kepada isi pelajaran yang difokuskan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

4.  Menggunakan media dan bahan
Bagi langkah keempat iaitu menggunakan media dan bahan, persoalan penting adalah bagaimana sesuatu media dan bahan sumber dapat dimanfaatkan oleh guru dan pelajar. Terdapat beberapa langkah yang perlu dibuat sebelum media dan bahan sumber boleh digunakan dalam proses pengajran dan pembelajaran. Antara langkah- langkah yang perlu dilakukan adalah seperti semak, pratonton, kaji bahan sumber sebelum digunakan, sediakan bahan dengan betul, lengkap dan cukup, rancang penggunaan bahan sumber, sediakan persekitaran yang sesuai dengan menyusun bahan dan sumber agar mudah dicapai serta menggunakan bahan sumber secara optimum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

5.  Memerlukan penglibatan pelajar
Bagi langkah kelima iaitu penglibatan pelajar dalam pembelajaran, sesuatu pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif akan menghasilkan perubahan tingkah laku yang diharapkan. Pemilihan media dan bahan sumber yang sesuai dapat membantu dan mengekalkan penglibatan pelajar. Penggunaan gambar, gambar bersiri, video dan animasi dapat mencetuskan perbincangan kumpulan, penjanaan idea dan penglibatan aktif pelajar. Contoh penglibatan aktif pelajar adalah seperti membuat latihan, simulasi, perbincangan, latih tubi, kuiz, mengadakan sesi pemerhatian, perbincangan serta komen. Guru perlulah memastikan suasana proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah sesuai, efektif serta menarik minat pelajar.

6.  Melakukan penilaian dan pengubahsuaian
Bagi langkah keenam iaitu melakukan penilaian dan pengubahsuaian, sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran perlu dinilai bagi mendapatkan maklum balas dari pelajar dan memastikan keberkesanannya. Oleh itu, sesuatu sesi refleksi guru bersama murid-murid perlu dijalankan bagi membolehkan murid-muird memberikan respon terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan secara individu. Ia adalah bertujuan bagi memasti dan mengenalpasti kelemahan yang terdapat dalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran agar penambahbaikan dapat dilakukan pada masa akan datang. Antara fungsi penilaian yang lain juga adalah bagi menjawab persoalan-persoalan seperti :
i. Adakah objektif akan tercapai?
ii. Adakah media tersebut dapat membantu dalam proses pembelajaran?
iii. Adakah pelajar dapat mengendalikan media dengan betul?
iv. Adakah suasana pembelajaran yang terhasil selesa dan kondusif?



TEORI KECERDASAN PELBAGAI


Kecerdasan atau “intelelligence” boleh dilihat daripada dua perspektif. Tradisi klasikal cuba memahamkan kandungan atau struktur kecerdasan dengan menganggap kecerdasan sebagai satu sturktur. Sementara tradisi revisionis mencari fakta untuk memahamkan prosesnya. Ahli psikologi yang terlibat dengan tradisi ini melihat kecerdasan sebagai satu proses. Bagaimanapun, apa yang mustahak bagi mereka ialah cara bagaiamana manusia menggabungkan pengetahuan, strategi, dan proses metakognitif untuk menyelesaikan masalah yang penting kepada mereka. Kebanyakan ahli psikologi teoris ini berkongsi satu set kepercayaan terhadap kecerdasan. Menurut mereka, kecerdasan mungkin mempunyai struktur kebolehan . Apa yang lebih penting dalam mengkaji dan mendeskripsi kecerdasan ialah pemahaman terhadap proses yang mendasarinya. Menurut para teoris ini lagi, kecerdasan boleh diperbaiki dengan berkesan melalui pendidikan dan latihan. Ujian-ujian biasa bukanlah satu cara yang terbaik untuk mempelajari atau menerokai sifat semula jadi kecerdasan, tetapi cara yang paling baik untuk mengukur kecerdasan adalah menggalakkan manusia menyelesaikan masalah.


Menurut para teoris ini lagi, ada terdapat komponen genetik pada tubuh kecerdasan. Tetapi ia tidak merangkumi sebahagian besar tingkah laku kecerdasan. Kecerdasan seseorang adalah dipengaruhi dengan hebat oleh persekitaran budaya seseorang. Kajian-kajian terhadap kecerdasan harus memberi pertimbangan terhadap persekitaran yang berbeza-beza di mana manusia mesti menyesuaikan diri mereka. Dua teoris ini yang menerokai bidang kecerdasan manusia ialah Gardner dan Sternberg. Kedua-duanya menjadi popular apabila masing-masing cuba mengetengahkan pendapat mereka terhadap kecerdasan.


Howard Gardner seorang ahli psikologi pengembangan yang terkenal mendapat pendidikan di Universiti Harvard. Beliau telah menulis banyak buku berkenaan dengan psikologi perkembangan yang mengetengahkan kerja-kerjanya dalam bidang perkembangan yang mengetengahkan kreativiti di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gardner juga sangat dikenali melalui hubungannya dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan perkembangan artistik. Minatnya dalam kreativiti bermula pada awal tahun 1970-an semasa beliau mengkaji perhubungan seni dan perkembangan manusia. Gardner membuat kesimpulan pada peringkat akhir permulaan kanak-kanak tersebut, mereka lebih memberi perhatian kepada kemahiran linguistik mereka yang kian berkembang dan tidak lagi berminat untuk berkomunikasi dalam bentuk nonverbal, seperti melukis.


Sebagai ahli psikologi pendidikan, Gardner adalah lebih dikenali melalui sumbangannya dalam bidang perkembangan intelektual dengan teorinya yang diberi nama Pelbagai Kecerdasan (Multiple Intelligences). Penyeledikan Gardner berkisar di sekitar kemahuannya untuk melepaskan diri daripada ujian-ujian dan kolerasi antara ujian-ujian dan memandang di sebalik sumber informasi semula jadi tentang bagaimana manusia di dunia memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang penting untuk kehidupan.
Ahli Psikologi Howard Gardner mengenal pasti tujuh jenis inteligesia yang ketara. Ia disenaraikan di sini dengan berfokus kepada kanak-kanak yang "gifted" atau "talented".


1. Linguistik (Linguistic)
Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan seperti ini biasanya merasa seronok dengan bidang penulisan, aktiviti membaca, bercerita, atau menyelesaikan kuiz silang kata.


2. Logikal-Matematik (Logical Mathematics)


Kanak-kanak yang mempunyai banyak kebijaksanaan logikal, amat berminat dengan corak, kategori dan hubungan (relationship), mereka akan hanyut dengan permasalahan matematik, permainan-permainan yang berstrategi dan melibatkan eksperimen.


3. Sensasi Tubuh (Bodily-Kinesthetic)
Kanak-kanak yang mempunyai kebijaksanaan seperti ini akan memproses pengetahuan atau maklumat melalui sensasi  tubuh. Mereka biasanya adalah ahli sukan, penari atau mereka handal menghasilkan barang-barang kraftangan seperti menjahit, menenun, mengukir dan sebagainya.


4. Ruang (Spatial)


Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan jenis ini akan berfikir melalui imej dan gambar. Mereka mungkin terpesona dengan sesuatu yang membingungkan, atau kuiz "jig-saw", atau mengisi masa lapang dengan aktiviti melukis , membina logo atau berkhayal di siang hari.


5. Muzik (Musical)


Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan jenis ini gemar muzik dan kerap menyanyi untuk diri sendiri dan orang lain. Mereka biasanya mempunyai kesedaran terhadap bunyi yang orang lain tidak mendengarnya. Kanak-kanak seperti ini amat peka dan boleh mendiskriminasi bunyi dengan baik.


6. Interpersonal



Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan seperti ini berkebolehan menjadi ketua di kalangan rakan-rakan mereka. Berkebolehan berinteraksi dengan baik dan amat peka serta dapat memahami perasaan orang lain. mereka juga memiliki kebijaksanaan interpersonal.


7. Intrapersonal



Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan seperti ini mungkin cepat terasa malu. Mereka amat menyedari akan perasaan sendiri dan bermotivasi kendiri.

MODEL INKUIRI


Model yang terlibat dalam penyelidikan ini terdiri daripada Model Inkuiri Suchman (1964). Inkuiri ditakrifkan sebagai mencari kebenaran, maklumat atau pengetahuan di mana maklumat yang diperolehi adalah melalui persoalan. PBI adalah pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan sangat memerlukan kepada penyertaan aktif pelajar serta berdasarkan kepada teori yang mengambil kira apakah sebenarnya yang boleh dipelajari oleh seseorang pelajar mengikut tahap perkembangan intelek mereka (Marek, Eubanks & Gallaher, 1990). Persekitaran pembelajaran dan aktiviti pelajar disusun untuk menggalakkan pelajar mencari penjelasan kepada persoalan yang telah ditimbulkan dan menurut Martinello (1998), proses penyoalan merupakan pusat kepada semua kaedah inkuiri.

Kaedah inkuiri merangkumi segala proses mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti inkuiri ini memerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan kajian siasat dan membuat rumusan atau mendapatkan jawapan. Matlamat umum kaedah inkuiri adalah untuk membantu pelajar mendirikan kemahiran serta disiplin intelektual dalam menimbulkan persoalan dan mencari jawapan kepada pertanyaan mereka. Perkara ini penting sebagai satu usaha untuk mengajak pelajar menjauhi penerimaan maklumat atau pengetahuan tanpa soal daripada mana-mana pihak.

Proses pembelajaran yang berlaku dalam penyelidikan ini yang menggunakan kaedah inkuiri Suchman. Pelajar perlu mengenal pasti soalan yang diberikan dan membuat hipotesis. Kemudian data dikumpulkan untuk mengesahkan hipotesis yang diberikan. Sekiranya data yang diperolehi menyokong hipotesis, maka hipotesis diterima dan jika data tidak menyokong hipotesis, maka hipotesis ditolak. Sekiranya hipotesis ditolak, pelajar perlu membuat hipotesis semula berdasarkan data yang diperolehi supaya akhirnya hipotesis menyokong data. Seterusnya pelajar perlu membuat kesimpulan tentang soalan tersebut.

 Model Inkuiri  merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik inimemerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, manjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat rumusan. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua jenis teknik inkuiri iaitu ‘inkuiri terbimbing’ dan ‘inkuiri terbuka’. Inkuiri terbimbing memerlukan guru membimbing pelajar menjalankan segala proses kajian. Inkuiri jenis ini sesuai dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Dalam inkuiri terbuka, pelajar tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses kajian dijalankan oleh pelajar sendiri. Oleh itu, ianya sesuai dilaksanakan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti di universiti. Kesimpulannya, model inkuiri ini amat berguna bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan baru dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan.


Wednesday, 23 February 2011

MAKSUD INTEGRASI

Integrasi berasal dari bahasa Inggeris "integration" yang bererti kesempurnaan atau keseluruhan. integrasi sosial didefinisikan sebagai proses penyesuaian di antara unsur-unsur yang saling berbeza dalam kehidupan masyarakat sehingga menghasilkan pola kehidupan masyarakat yang memilki keserasian fungsi.
Definisi lain mengenai integrasi adalah suatu keadaan di mana kelompok-kelompok etnik menerima dan bersikap kompromi terhadap kebudayaan majoriti masyarakat, namun masih tetap mempertahankan kebudayaan mereka masing-masing. Integrasi mempunyai 2 pengertian, iaitu :
  •  Pengendalian terhadap masalah dan kepelbagaian kaum dalam suatu sistem sosial tertentu
  •  Membuat suatu keseluruhan dan menyatukan unsur-unsur tertentu

Manakala menurut Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, integerasi bermaksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan, penyatuan.

Selain itu Integrasi juga dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan saksama.

MAKSUD KAEDAH GABUNG JALIN

Kaedah Gabung Jalin, iaitu kaedah pengajaran yang diutarakan oleh H.G Widdowson, dibentuk berdasarkan teori pengajaran pendekatan komunikatif. Prinsip pengajaran Kaedah Gabung Jalin menekankan fungsi bahasa sebagaimana yang benar-benar berlaku dalam komunikasi bahasa.

Perkara-perkara yang digabungjalinkan dalam pengajaran ialah kemahiran bahasa yang betul-betul terlibat dalam komunikasi. Misalnya, kemahiran mendengar dan bertutur, berlaku dalam temu duga, dialog, wawancara, mesyuarat, perbincangan dan sebagainya.

Begitu juga dengan kemahiran mendengar dan menulis, misalnya, apabila kita mendengar syarahan dan menulis nota (tentang syarahan yang didengar). Kemahiran membaca dan menulis, biasanya kita gabungkan apabila kita membaca buku teks dan mencatat nota daripada bacaan tersebut.

Dalam menggunakan kaedah gabung jalin ini, guru hendaklah pandai memilih dan menggabungjalinkan aktiviti-aktiviti bahasa yang realistik dan benar-benar menggambarkan situasi penggabungan kemahiran dalam komunikasi. Kini konsep penggabungjalinan telah diaplikasikan oleh guru dengan cara yang lebih kreatif.

Tuesday, 22 February 2011

NILAI MURNI

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"

(Wan Mohd. Zahid, 1988). 

Nilai Murni terbahagi kepada lima bahagian. Antaranya ialah:

1.0  NILAI BERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN DIRI
 Pembentukan dan pengukuhan peribadi mulia berlandaskan nilai-nilai moral dankerohanian, selaras dengan norma masyarakat Malaysia ke arah memperkukuhkesedaran hati nurani seseorang insan.
1.1    Kepercayaan kepada Tuhan

Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhan-Nya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara
1.2 Kebersihan Fizikal dan Mental
Kebersihan dan kesihatan diri serta pemikiran yang sihat dan positif dalam setiap perlakuan.
1.3 Harga Diri

Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.
1.4 Kerajinan
Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan,
kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.
1.5 Hemah Tinggi
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian
1.6 Kasih Sayang

Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.
1.7 Kesederhanaan
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.
1.8 Kejujuran

Kewajipan bercakap benar, bersikap amanah dan ikhlas dalam setiap
perlakuan.
1.9 Baik Hati

Kepekaan terhadap perasaan dan kebajikan diri sendiri dan orang lain dengan memberi bantuan dan sokongan moral secara tulus ikhlas.
1.10 Berterima Kasih

Perasaan dan perlakuan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan atau pemberian.

2.0  NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN KELUARGA

Kewajipan dan tanggungjawab diri dalam menghormati dan menjaga maruah setiap anggota keluarga demi kebahagiaan dan keharmonian hidup bersama.
2.1 Kasih Sayang terhadap Keluarga

Perasaan cinta dan sayang yang mendalam serta berkekalan terhadap
keluarga demi melahirkan keluarga bahagia
2.2 Hormat dan Taat kepada Anggota Keluarga
Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni
2.3 Tanggungjawab terhadap Keluarga

Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia,meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.

3.0   NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN MASYARAKAT
Peranan dan tanggungjawab diri sebagai angota masyarakat yang menghayati kepentingan hidup bersama bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.
3.1 Tanggungjawab terhadap Masyarakat

Kesanggupan memikul serta melaksanakan tugas dan kewajipan dengan
sempurna sebagai anggota masyarakat
3.2  Toleransi dalam Masyarakat
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.
3.3  Semangat Bermasyarakat

Kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan untuk kepentingan
bersama demi keharmonian hidup bermasyarakat.
3.4  Peka terhadap Isu-isu Sosial
Bertanggungjawab dan prihatin terhadap masalah dan isu semasa yang
berlaku dalam masyarakat dan berusaha menyelesaikannya

4.0  NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN ALAM SEKITAR
Peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar serta melibatkan diri secara positif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
4.1 Kebersihan dan Keindahan Persekitaran

Pemeliharaan dan pemuliharaan persekitaran agar sentiasa bersih dan ceria demi kesejahteraan hidup.
4.2 Menyayangi Alam Sekitar

Mencintai dan menghargai alam sekitar demi mengekalkan keharmonian hidup.
4.3 Peka terhadap Isu Alam Sekitar
Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekitar dan berusaha menyelesaikannya.

5.1  NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN NEGARA
Peranan dan tanggungjawab setiap warganegara mentaati, mematuhi dan setia kepada negara serta patuh kepada peraturan dan undang-undang untuk kesejahteraan dan keharmonian negara berdasarkan prinsip Rukun Negara.
5.1 Hormatdan Setia kepada Pemimpin, Raja dan Negara

Hormat dan kepatuhan yang berkekalan kepada pemimpin dan raja serta setia kepada negara
5.2 Patuh kepada Peraturan dan Undang-Undang

Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan sebagai amalan hidup.
5.3 Cinta akan Negara
Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.
5.4 Keamanan dan Keharmonian
Kedamaian dan perpaduan yang berkekalan dan berterusan di kalangan rakyat Malaysia serta masyarakat global.