Tuesday 22 February 2011

NILAI MURNI

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"

(Wan Mohd. Zahid, 1988). 

Nilai Murni terbahagi kepada lima bahagian. Antaranya ialah:

1.0  NILAI BERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN DIRI
 Pembentukan dan pengukuhan peribadi mulia berlandaskan nilai-nilai moral dankerohanian, selaras dengan norma masyarakat Malaysia ke arah memperkukuhkesedaran hati nurani seseorang insan.
1.1    Kepercayaan kepada Tuhan

Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhan-Nya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara
1.2 Kebersihan Fizikal dan Mental
Kebersihan dan kesihatan diri serta pemikiran yang sihat dan positif dalam setiap perlakuan.
1.3 Harga Diri

Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.
1.4 Kerajinan
Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan,
kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.
1.5 Hemah Tinggi
Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian
1.6 Kasih Sayang

Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.
1.7 Kesederhanaan
Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.
1.8 Kejujuran

Kewajipan bercakap benar, bersikap amanah dan ikhlas dalam setiap
perlakuan.
1.9 Baik Hati

Kepekaan terhadap perasaan dan kebajikan diri sendiri dan orang lain dengan memberi bantuan dan sokongan moral secara tulus ikhlas.
1.10 Berterima Kasih

Perasaan dan perlakuan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan atau pemberian.

2.0  NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN KELUARGA

Kewajipan dan tanggungjawab diri dalam menghormati dan menjaga maruah setiap anggota keluarga demi kebahagiaan dan keharmonian hidup bersama.
2.1 Kasih Sayang terhadap Keluarga

Perasaan cinta dan sayang yang mendalam serta berkekalan terhadap
keluarga demi melahirkan keluarga bahagia
2.2 Hormat dan Taat kepada Anggota Keluarga
Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni
2.3 Tanggungjawab terhadap Keluarga

Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia,meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.

3.0   NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN MASYARAKAT
Peranan dan tanggungjawab diri sebagai angota masyarakat yang menghayati kepentingan hidup bersama bagi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.
3.1 Tanggungjawab terhadap Masyarakat

Kesanggupan memikul serta melaksanakan tugas dan kewajipan dengan
sempurna sebagai anggota masyarakat
3.2  Toleransi dalam Masyarakat
Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.
3.3  Semangat Bermasyarakat

Kesediaan melakukan sesuatu dengan semangat kekitaan untuk kepentingan
bersama demi keharmonian hidup bermasyarakat.
3.4  Peka terhadap Isu-isu Sosial
Bertanggungjawab dan prihatin terhadap masalah dan isu semasa yang
berlaku dalam masyarakat dan berusaha menyelesaikannya

4.0  NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN ALAM SEKITAR
Peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar serta melibatkan diri secara positif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
4.1 Kebersihan dan Keindahan Persekitaran

Pemeliharaan dan pemuliharaan persekitaran agar sentiasa bersih dan ceria demi kesejahteraan hidup.
4.2 Menyayangi Alam Sekitar

Mencintai dan menghargai alam sekitar demi mengekalkan keharmonian hidup.
4.3 Peka terhadap Isu Alam Sekitar
Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekitar dan berusaha menyelesaikannya.

5.1  NILAI BERKAITAN DENGAN DIRI DAN NEGARA
Peranan dan tanggungjawab setiap warganegara mentaati, mematuhi dan setia kepada negara serta patuh kepada peraturan dan undang-undang untuk kesejahteraan dan keharmonian negara berdasarkan prinsip Rukun Negara.
5.1 Hormatdan Setia kepada Pemimpin, Raja dan Negara

Hormat dan kepatuhan yang berkekalan kepada pemimpin dan raja serta setia kepada negara
5.2 Patuh kepada Peraturan dan Undang-Undang

Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan sebagai amalan hidup.
5.3 Cinta akan Negara
Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.
5.4 Keamanan dan Keharmonian
Kedamaian dan perpaduan yang berkekalan dan berterusan di kalangan rakyat Malaysia serta masyarakat global.



No comments:

Post a Comment