Wednesday 16 March 2011

MODEL INKUIRI


Model yang terlibat dalam penyelidikan ini terdiri daripada Model Inkuiri Suchman (1964). Inkuiri ditakrifkan sebagai mencari kebenaran, maklumat atau pengetahuan di mana maklumat yang diperolehi adalah melalui persoalan. PBI adalah pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan sangat memerlukan kepada penyertaan aktif pelajar serta berdasarkan kepada teori yang mengambil kira apakah sebenarnya yang boleh dipelajari oleh seseorang pelajar mengikut tahap perkembangan intelek mereka (Marek, Eubanks & Gallaher, 1990). Persekitaran pembelajaran dan aktiviti pelajar disusun untuk menggalakkan pelajar mencari penjelasan kepada persoalan yang telah ditimbulkan dan menurut Martinello (1998), proses penyoalan merupakan pusat kepada semua kaedah inkuiri.

Kaedah inkuiri merangkumi segala proses mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti inkuiri ini memerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, menjalankan kajian siasat dan membuat rumusan atau mendapatkan jawapan. Matlamat umum kaedah inkuiri adalah untuk membantu pelajar mendirikan kemahiran serta disiplin intelektual dalam menimbulkan persoalan dan mencari jawapan kepada pertanyaan mereka. Perkara ini penting sebagai satu usaha untuk mengajak pelajar menjauhi penerimaan maklumat atau pengetahuan tanpa soal daripada mana-mana pihak.

Proses pembelajaran yang berlaku dalam penyelidikan ini yang menggunakan kaedah inkuiri Suchman. Pelajar perlu mengenal pasti soalan yang diberikan dan membuat hipotesis. Kemudian data dikumpulkan untuk mengesahkan hipotesis yang diberikan. Sekiranya data yang diperolehi menyokong hipotesis, maka hipotesis diterima dan jika data tidak menyokong hipotesis, maka hipotesis ditolak. Sekiranya hipotesis ditolak, pelajar perlu membuat hipotesis semula berdasarkan data yang diperolehi supaya akhirnya hipotesis menyokong data. Seterusnya pelajar perlu membuat kesimpulan tentang soalan tersebut.

 Model Inkuiri  merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Aktiviti soal selidik inimemerlukan pelajar mengenal pasti soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, manjalankan kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat rumusan. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, terdapat dua jenis teknik inkuiri iaitu ‘inkuiri terbimbing’ dan ‘inkuiri terbuka’. Inkuiri terbimbing memerlukan guru membimbing pelajar menjalankan segala proses kajian. Inkuiri jenis ini sesuai dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Dalam inkuiri terbuka, pelajar tidak diberi sebarang bimbingan. Segala proses kajian dijalankan oleh pelajar sendiri. Oleh itu, ianya sesuai dilaksanakan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi seperti di universiti. Kesimpulannya, model inkuiri ini amat berguna bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan baru dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan.


No comments:

Post a Comment