Wednesday 16 March 2011

TEORI KECERDASAN PELBAGAI


Kecerdasan atau “intelelligence” boleh dilihat daripada dua perspektif. Tradisi klasikal cuba memahamkan kandungan atau struktur kecerdasan dengan menganggap kecerdasan sebagai satu sturktur. Sementara tradisi revisionis mencari fakta untuk memahamkan prosesnya. Ahli psikologi yang terlibat dengan tradisi ini melihat kecerdasan sebagai satu proses. Bagaimanapun, apa yang mustahak bagi mereka ialah cara bagaiamana manusia menggabungkan pengetahuan, strategi, dan proses metakognitif untuk menyelesaikan masalah yang penting kepada mereka. Kebanyakan ahli psikologi teoris ini berkongsi satu set kepercayaan terhadap kecerdasan. Menurut mereka, kecerdasan mungkin mempunyai struktur kebolehan . Apa yang lebih penting dalam mengkaji dan mendeskripsi kecerdasan ialah pemahaman terhadap proses yang mendasarinya. Menurut para teoris ini lagi, kecerdasan boleh diperbaiki dengan berkesan melalui pendidikan dan latihan. Ujian-ujian biasa bukanlah satu cara yang terbaik untuk mempelajari atau menerokai sifat semula jadi kecerdasan, tetapi cara yang paling baik untuk mengukur kecerdasan adalah menggalakkan manusia menyelesaikan masalah.


Menurut para teoris ini lagi, ada terdapat komponen genetik pada tubuh kecerdasan. Tetapi ia tidak merangkumi sebahagian besar tingkah laku kecerdasan. Kecerdasan seseorang adalah dipengaruhi dengan hebat oleh persekitaran budaya seseorang. Kajian-kajian terhadap kecerdasan harus memberi pertimbangan terhadap persekitaran yang berbeza-beza di mana manusia mesti menyesuaikan diri mereka. Dua teoris ini yang menerokai bidang kecerdasan manusia ialah Gardner dan Sternberg. Kedua-duanya menjadi popular apabila masing-masing cuba mengetengahkan pendapat mereka terhadap kecerdasan.


Howard Gardner seorang ahli psikologi pengembangan yang terkenal mendapat pendidikan di Universiti Harvard. Beliau telah menulis banyak buku berkenaan dengan psikologi perkembangan yang mengetengahkan kerja-kerjanya dalam bidang perkembangan yang mengetengahkan kreativiti di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gardner juga sangat dikenali melalui hubungannya dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan perkembangan artistik. Minatnya dalam kreativiti bermula pada awal tahun 1970-an semasa beliau mengkaji perhubungan seni dan perkembangan manusia. Gardner membuat kesimpulan pada peringkat akhir permulaan kanak-kanak tersebut, mereka lebih memberi perhatian kepada kemahiran linguistik mereka yang kian berkembang dan tidak lagi berminat untuk berkomunikasi dalam bentuk nonverbal, seperti melukis.


Sebagai ahli psikologi pendidikan, Gardner adalah lebih dikenali melalui sumbangannya dalam bidang perkembangan intelektual dengan teorinya yang diberi nama Pelbagai Kecerdasan (Multiple Intelligences). Penyeledikan Gardner berkisar di sekitar kemahuannya untuk melepaskan diri daripada ujian-ujian dan kolerasi antara ujian-ujian dan memandang di sebalik sumber informasi semula jadi tentang bagaimana manusia di dunia memperkembangkan kemahiran-kemahiran yang penting untuk kehidupan.
Ahli Psikologi Howard Gardner mengenal pasti tujuh jenis inteligesia yang ketara. Ia disenaraikan di sini dengan berfokus kepada kanak-kanak yang "gifted" atau "talented".


1. Linguistik (Linguistic)
Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan seperti ini biasanya merasa seronok dengan bidang penulisan, aktiviti membaca, bercerita, atau menyelesaikan kuiz silang kata.


2. Logikal-Matematik (Logical Mathematics)


Kanak-kanak yang mempunyai banyak kebijaksanaan logikal, amat berminat dengan corak, kategori dan hubungan (relationship), mereka akan hanyut dengan permasalahan matematik, permainan-permainan yang berstrategi dan melibatkan eksperimen.


3. Sensasi Tubuh (Bodily-Kinesthetic)
Kanak-kanak yang mempunyai kebijaksanaan seperti ini akan memproses pengetahuan atau maklumat melalui sensasi  tubuh. Mereka biasanya adalah ahli sukan, penari atau mereka handal menghasilkan barang-barang kraftangan seperti menjahit, menenun, mengukir dan sebagainya.


4. Ruang (Spatial)


Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan jenis ini akan berfikir melalui imej dan gambar. Mereka mungkin terpesona dengan sesuatu yang membingungkan, atau kuiz "jig-saw", atau mengisi masa lapang dengan aktiviti melukis , membina logo atau berkhayal di siang hari.


5. Muzik (Musical)


Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan jenis ini gemar muzik dan kerap menyanyi untuk diri sendiri dan orang lain. Mereka biasanya mempunyai kesedaran terhadap bunyi yang orang lain tidak mendengarnya. Kanak-kanak seperti ini amat peka dan boleh mendiskriminasi bunyi dengan baik.


6. Interpersonal



Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan seperti ini berkebolehan menjadi ketua di kalangan rakan-rakan mereka. Berkebolehan berinteraksi dengan baik dan amat peka serta dapat memahami perasaan orang lain. mereka juga memiliki kebijaksanaan interpersonal.


7. Intrapersonal



Kanak-kanak yang memiliki kebijaksanaan seperti ini mungkin cepat terasa malu. Mereka amat menyedari akan perasaan sendiri dan bermotivasi kendiri.

No comments:

Post a Comment